MAKAN KONATE MELENGKAPKAN SKUAD TFC 2021
Terengganu FC hari ini menamatkan khabar angin yang berlegar dalam kalangan peminat dengan mengesahkan kehadiran Makan Konate, pemain yang berasal dari Mali untuk bersama Terengganu FC bagi mengharungi cabaran musim 2021 yang sekali gus melengkapkan kuota pemain import kelima.
Konate nama yang tidak asing bagi peminat bola sepak di Terengganu menerusi penampilan sulung di kancah liga tempatan bersama T-Team pada tahun 2016-2017 gembira dan teruja untuk sekali lagi hadir di bumi Sang Penyu, kali ini bersama David da Silva yang seperti sedia maklum adalah rakan sepasukannya dari Persebaya. Gandingan ini dijangka akan bersama-sama mengemudi barisan utama Terengganu FC.
“Saya telah lama mengenali David bahkan sebelum kami bersama di Persebaya dan dari pandangan saya dia merupakan seorang rakan yang baik dan juga sangat berkualiti di depan gol”, ujar Konate.
Memilih untuk terus mengekalkan jersi bernombor 10 yang disifatkan amat dekat dengan dirinya bersempena dengan tarikh kelahiran beliau sendiri, Konate juga merupakan seorang pemain yang sangat komited di atas padang. Dengan ketinggian 1.78 meter, kemampuan dan rekod yang beliau miliki sebagai seorang pemain tengah menyerang (attacking midfileder) dilihat sangat baik terutama pada saingan Liga 1 Indonesia 2018-2019 dengan 29 gol dalam 51 penampilan sebelum kancah Liga 1 Indonesia tergantung selepas hanya beberapa perlawanan pada musim 2020 akibat pandemik yang melanda sehingga hari ini.
Dengan kehadiran Makan Konate ini yang menandatangani kontrak selama 1 tahun, maka lengkap sudah skuad Terengganu FC 2021 dan barisan kejurulatihan yang diketuai Nafuzi Zain akan menunggu lampu hijau daripada MFL untuk kembali ke padang latihan mengikut garis panduan latihan ketika PKP Covid-19 yang disarankan oleh badan penganjur tersebut.