AURA GERUN STADIUM SULTAN ISMAIL NASIRUDDIN SHAH HARUS DIKEMBALIKAN
Stadium rasmi pasukan Terengganu FC, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Terengganu dilihat telah hilang aura gerun buat pasukan dan penyokong lawan yang hadir bertandang ke stadium ini sejak 5-6 tahun yang lepas. Stadium yang dulunya boleh dianggap kubu kuat skuad Terengganu ini dikatakan amatlah digeruni oleh pasukan lawan kerana suasana sokongan penyokong pada ketika itu kepada pasukan Terengganu amatlah tidak berbelah bagi.
Keadaan stadium dimana jarak padang dan penyokong pula berdekatan juga adalah faktor utama dimana laungan dan sorakan penyokong sangat jelas didengari oleh pemain-pemain yang berada di padang. Keadaan ini sebenarnya menambah keyakinan dan semangat buat pemain-pemain Terengganu dan keadaan ini jugalah yang membuatkan pasukan lawan tertekan dan merasa gerun sepanjang 90 minit perlawanan.
Pada musim 2011 dan 2012 boleh dikatakan kehadiran penyokong ke stadium amatlah menakjubkan apabila hampir setiap perlawanan dipenuhi penyokong yang hadir dengan memakai jersi rasmi Terengganu dan warna seragam putih dan hitam.
Walaubagaimanapun, suasana dan aura ini dapat dilihat kembali pada tahun ini terutamanya pada perlawanan menentang pasukan Selangor FA bagi aksi Liga Super baru-baru ini. Bilangan penyokong yang memenuhi stadium amatlah menakjubkan dan mengejutkan kerana pada hari yang sama perlawanan tersebut sebenarnya disiarkan secara langsung di Media Prima dan rangkaian livestreaming. Namun penyokong tetap hadir ke stadium pada malam itu malah bilangan yang hadir adalah diluar jangkaan dan aura yang disampaikan oleh penyokong pada malam tersebut boleh dikatakan sungguh fenomenal.
Dilihat jika suasana ini berterusan, “Aura Gerun SSINS” bakal kembali bertapak di stadium ini dan sekaligus membantu pasukan kita dalam membentuk semangat buat mereka sekaligus membuatkan pasukan lawan gerun apabila hadir ke stadium negeri ini. Ramai berpendapat bahawa stadium ini perlu diperbaiki terutama warna stadium itu sendiri yang dilihat tidak menunjukkan warna pasukan dan negeri ini iaitu warna putih dan hitam. Mungkin jika terus diutarakan pendapat dan permintaan oleh penyokong yang rata-ratanya adalah rakyat negeri Terengganu ini, mungkin harapan untuk melihat warna stadium kita mengikut warna rasmi dan tradisi ini bakal tercapai pada suatu ketika nanti.
Ada juga yang menyuarakan agar mewajibkan kepada sesiapa yang hadir untuk memakai pakaian mengikut warna rasmi pasukan kita. Pihak pengurusan juga dalam masa yang sama sedang berusaha untuk mengadakan satu kempen bagi mengangkat minda penyokong kita untuk jadi lebih profesional dan kehadapan dan ianya termasuklah kesedaran dalam diri penyokong itu sendiri tidak kira bagaimana pemakaian mereka, cara sokongan mereka, disiplin mereka semasa berada di stadium, apa tanggungjawab mereka sebagai penyokong dan sebagainya. Langkah ini sebenarnya adalah langkah awal untuk kita menjadikan Terengganu FC sebagai salah sebuah pasukan yang boleh dicontohi di Malaysia dan luar negera bukan sahaja melalui pasukan, namun penyokong pasukan itu sendiri.