AMIRZAFRAN TEKAD BERUSAHA LEBIH KERAS REBUT KESEBELASAN UTAMA

Pemain pertahanan muda  Terengganu FC, Wan Ahmad Amirzafran tekad untuk pertingkatkan usaha untuk memperbaiki segala kekurangan dan kelemahan beliau bagi mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama skuad Terengganu FC. Amirzafran adalah antara calon pemain pertahanan tempatan terbaik pada tahun lepas bersama skuad T-Team FC dengan menjadi salah seorang pertahanan yang dapat menjaringkan beberapa gol buat pasukan dan menjadi jentera terakhir terbaik dibahagian pertahanan bagi musim 2017.

Amirzafran pada tahun ini terpaksa bersaing dengan beberapa pemain pertahanan berpengalaman termasuk pemain import dari Serbia, Igor Zonjic. Dalam barisan skuad utama di bahagian pertahanan tengah kini ketua jurulatih menempatkan pemain pertahanan berpengalaman, Nasrullah Hanif sebagai pilihan utama untuk bergandingan dengan tonggak import, Igor. Aksi konsisten dan baik dari Nasrullah berjaya menempatkan beliau sebagai pilihan utama skuad ini bagi beberapa perlawanan awal persaingan Liga Super setakat ini.

Walaubagaimanapun persaingan ini tetap menjadi titik positif buat Amirzafran untuk mempertingkatkan usaha untuk menjadi lebih baik dalam memburu dan merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan. Apa yang beliau nampak ialah jika seseorang pemain itu menjaga disiplin mereka dengan baik, kekal fokus dan faham apa yang cuba ketua jurulatih terapkan, tidak mustahil mereka dapat bersaing dengan pemain-pemain yang lebih berpengalaman daripada mereka untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan.

Beliau dilihat selesa dan gemar dengan segala corak latihan dan taktikal yang diterapkan oleh ketua jurulatih, Haji Irfan Bakti kerana ianya banyak membantu dalam menjadikan beliau seorang pemain pertahanan yang lebih matang pada masa akan datang.

Bagi perlawanan seterusnya pada 23 Februari 2018, Terengganu FC akan turun ke stadium lawan bagi aksi Liga Super bertemu pasukan Negeri Sembilan FA bertempat di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi Negeri Sembilan.