NASIR BASHARUDIN DAN ARIF FADZILAH MELENGKAPKAN PERPINDAHAN BAGI MUSIM 2020

Pasukan Terengganu Football Club (TFC) hari ini telahpun menandatangani 2 pemain baharu iaitu Mohamad Nasir Bin Basharudin dan Mohammad Arif Fadzilah bin Abu Bakar yang akan bersama pasukan ini bagi saingan Liga Malaysia musim hadapan. Majlis tandatangan ringkas bersama kedua-dua pemain yang bertempat di Pejabat Pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) ini turut dihadiri oleh pengendali pasukan TFC, Mohd Nafuzi bin Mohd Zain.

Nasir Basharudin yang juga bekas ketua pasukan Perak FA dan pemain kebangsaan ini yakin dengan skuad yang dikendalikan oleh Nafuzi Zain mampu untuk mencabar kejuaraan pada musim hadapan walaupun diberitakan skuad TFC akan dibarisi oleh ramai pemain muda pada tahun 2020. Ianya bukan satu masaalah apabila beraksi bersama pemain muda kerana pemain-pemain muda yang berada dalam skuad TFC mempunyai kualiti yang baik dan hanya memerlukan minit bermain dan pengalaman untuk menjadikan mereka lebih matang terutama apabila beraksi menentang pasukan-pasukan gergasi di Liga Super.

Arif Fadzilah yang juga tidak asing lagi bagi penyokong di negeri Terengganu kerana pernah beraksi bersama pasukan T-Team FC dan berjaya membawa pasukan itu menjadi antara pasukan besar pada tahun 2016 turut meluahkan perasaan gembira apabila dapat kembali menabur bakti bersama pasukan dari negeri kelahirannya. Arif pernah bersama pasukan Terengganu FC II (TFC II) selama setahun sebelum mendapat tawaran dari skuad Felda United pada musim 2019. Arif yakin prestasinya akan meningkat apabila berada di bawah kendalian ketua jurulatih, Nafuzi Zain dan sememangnya target beliau untuk membantu pasukan TFC untuk mencabar kejuaraan pada musim hadapan.

Pengendali TFC, Nafuzi Zain turut menyatakan bahawa beliau gembira kedua-dua pemain ini menyertai TFC. Kedua mereka berpengalaman luas dalam kancah bolasepak Malaysia dan kehadiran Arif diharap dapat memperkemaskan barisan pertahanan TFC manakala kehadiran Nasir Basharudin diharap dapat mengukuhkan lagi jentera tengah pasukan dalam mengharungi perlawanan musim depan.

Nasir Basharuddin menandatangani kontrak yang turut disaksikan oleh Penolong Pengurus dan Ketua Jurulatih TFC 2020

Nasir Basharuddin azam bantu Terengganu FC buru kejuaraan

 

Arif Fadzilah menandatangani kontrak yang turut disaksikan oleh Penolong Pengurus dan Ketua Jurulatih TFC 2020

 

Arif Fadzilah ingin kembali bangkit bersama TFC

Leave a Reply