PEMAIN TURUN PADA SEPARUH MASA KEDUA DENGAN MENTALITI BERBEZA

Kemenangan penuh dramatik pada malam ini nyata berjaya membalas harapan penyokong yang memenuhi Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Terengganu ( SSINS ) sejak jam 6.30 petang. Pasukan Terengganu FC (TFC) bermula dengan agak perlawanan pada separuh masa pertama dimana dilihat banyak gerakan terhalang di bahagian tengah padang dan penguasaan bola nyata dipihak pasukan pelawat, Felda United FC. Felda United menggunakan kesempatan ini dengan menjaringkan gol pertama hasil tandukan Thiago selepas melakukan satu tandukan cantik menewaskan Suffian. Pasukan TFC dilihat sedikit hilang fokus selepas gol pertama Felda sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, pasukan TFC memperkemas permainan dan berjaya mengadakan serangan dengan lebih tersusun namun beberapa percubaan tidak berjaya disudahkan dengan baik oleh bahagian serangan TFC. Dalam usaha TFC untuk mendapatkan jaringan, Felda berjaya memerangkap pasukan pertahanan TFC selepas melakukan satu serangan balas pantas dan peluang ini digunakan sebaiknya oleh Syamim yahaya untuk menambah gol kedua buat pasukan pelawan untuk menambah tekanan buat pasukan tuan rumah. Namun begitu pertukaran strategi oleh ketua jurulatih dengan memasukkan Faiz Nasir dan juga Malik Ariff berjaya merubah permainan pasukan TFC. Terengganu mula agresif dalam melakukan serangan dan hasilnya, pemain yang tidak asing lagi, Lee Andrew Tuck mencetak nama sebagai penjaring setelah melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti memberikan gol pertama buat TFC. Dengan bantuan dari aura penyokong ke-12, iaitu penyokong pasukan TFC, pemain-pemain mula bertambah semangat dan semakin agresif melakukan serangan dan hasilnya, satu jaringan cantik dari Adib Aizuddin yang melakukan satu placing dari jarak jauh berjaya menumpaskan penjaga gol Felda United sekaligus menyamakan kedudukan pada minit ke-69 menggamatkan SSINS.

Selang 10 minit, Gilberto Fortunato sekali lagi mengejutkan pasukan tuan rumah dengan melakukan satu gol lipatan gunting menewaskan Suffian menjadikan kedudukan 2-3. Walaubagaimanapun ianya tidak memutuskan semangat anak-anak buah Haji Irfan Bakti untuk terus melancarkan serangan dan hasilnya, Malik Ariff berjaya menyamakan kedudukan hasil hantaran lintang Partiban menggamatkan sekali lagi SSINS. Aura penyokong pada malam ini amat membantu pasukan untuk terus bermain dengan positif dan tidak takut untuk melakukan serangan dan gandingan Faiz Nasir dan Kipre Tchetche membuahkan hasil pada minit ke-86 setelah hantaran cantik Faiz berjaya membantu Kipre untuk menambah koleksi jaringan peribadi sekaligus mematahkan semangat pemain-pemain Felda.

Haji Irfan Bakti menyatakan kemenangan pada malam ini adalah hasil dari mentaliti pemain-pemainnya pada separuh masa kedua yang lebih berani dan positif. Ianya bukan perkara yang mudah untuk kita bangkit setelah ketinggalan 0-2 namun anak-anak buahnya membuktikan mereka mempunyai mentaliti yang sangat kuat untuk memenangi perlawanan pada malam ini. Ditanya berkenaan kemasukan Faiz Nasir yang dikatakan sebagai “game changer”, Irfan menyatakan memang benar kemasukan pemain ini berjaya membantu pasukan. Irfan menambah, antara kelebihan yang ada pada Faiz iaitu seorang pemain yang berani memegang bola, berani meminta bola dan berani berlari dengan bola. Irfan menyatakan kemenangan pada malam ini bukan diatas individu, tetapi beliau mengkreditkan kepada keseluruhan anak buahnya. Pihak pasukan dan pemain juga memberikan kredit kemenangan pada malam ini kepada kesemua penyokong yang hadir yang telah mengembalikan aura gerun di SSINS.

Pasukan TFC akan ke pusingan separuh akhir dan pasukan lawan akan ditentukan pada saingan malam esok diantara pasukan Pahang FA atau Johor Darul Takzim.

 

Leave a Reply