SKUAD TERENGGANU FC III TERUS KONSISTEN TERAJUI CARTA LIGA PIALA PRESIDEN 2018

Skuad kendalian Badrul Afzan Razali terus cemerlang dengan mengekalkan rekod tanpa kalah apabila sekali lagi berjaya mendapatkan 3 mata diteampat lawan pada perlawanan menentang Kuala Lumpur FA (U21) di Stadium Mini UKM, Bangi semalam. Keputusan perlawanan ini terus mengekalkan skuad Terengganu FC III (TFC III) di tempat teratas carta Piala Presiden 2018 (Kumpulan B) dengan mengumpul 13 mata.  Dalam 5 perlawanan terawal Piala Presiden ini, TFC III telah memenangi 4 perlawanan dan seri hanya 1 perlawanan dan masih belum pernah tewas. Walaubagaimanapun ketua jurulatih TFC III melihatkan masih banyak yang perlu dipertingkatkan bagi memperbaiki segala kekurangan yang ada untuk mengharungi saingan berikutnya yang masih panjang.

Pada perlawanan menentang Kuala Lumpur FA (U21) semalam, pemain pertahanan, Samsul Ikram telah muncul wira setelah menjaringkan gol kemenangan pasukan melalui sepakan penalti sekaligus memberikan 3 mata berharga buat TFC III di tempat lawan. Perlawanan yang berlangsung semalam ini sengit apabila pasukan tuan rumah, Kuala Lumpur juga inginkan kemenangan untuk mengelakkan mereka dari terus berada di tempat terbawah liga, namun usaha kesemua pemain-pemain TFC III selama 90 minit dilihat mendatangkan hasil dan membawa kejayaan buat pasukan.

Diharapkan rekod cemerlang TFC III dapat diteruskan untuk membawa pasukan ini bukan sahaja kekal ditempat teratas dan layak ke peringkat seterusnya, tetapi apa yang lebih penting adalah untuk membina dan meningkatkan keyakinan pemain-pemain muda ini untuk menjadi lebih baik menuju kearah yang lebih profesional untuk beraksi di Liga Perdana & Liga Super.